Ayahanda,
Kedamaian yang secubit itu hilang sudah. Kasih anakanda tertumpah melebihi selautan hanya sia-sia. Dunia dirasakan seperti tidak berpenghuni. Anakanda diselimuti perasaan pesimis, dan mengalah. Sekujur tubuh kaku bonda menyambut kepulangan anakanda dari majlis tari-menari. Pandangan orang penuh prejudis, dan sarkastik. Anakanda merasa gharib.
Hari-hari baru anakanda terasa lambat sekali. Anakanda duduk di lantai resah. Tidur anakanda bertilamkan gundah. Makan anakanda disuapkan kekesalan. Perut anakanda semakin membonjol. Sarat jasad menampung feotus, sarat lagi palitan noda. Atit penat mencatat dosa. Dangkal sungguh anakanda memilih Fazriq menjadi tempat melampias perasaan.
Prosa kehidupan anakanda dihimpit resah, dan bosan. Ayahanda pernah berkata; Apabila kita kesepian, ingatlah Allah kerana Allah Maha Berkuasa, dan Maha Memberi Kurnia. Anakanda tidak mengambil langkah bertaqarrub sebaliknya ketemu Fazriq. Ketagihan anakanda tidak dapat dikawal. Nafsu anakanda terbakar. Ibarat habis madu sepah dibuang, Fazriq bersekedudukan dengan perawan lain.
Ayahanda,
Detik itu, puting beliung menggulung jiwa. Anakanda meluat memandang Fazriq. Anakanda sedar kesilapan anakanda. Anakanda malu dengan tingkah lalu. Anakanda diterkam dengan kekuasaan Allah yang menjentik nubari. Penderitaan neraka berimaginasi di kotak minda. Fazriq membuang anakanda seperti sampah. Dadah dicampak membuatkan anakanda seperti anjing kurap kelaparan.
Lorong hidup anakanda dilingkupi dengan kesedihan. Rasa sesak mengigit jiwa. Anakanda leka dengan taklukan bahan larangan. Enam jahanam menjanjikan kebahagian sementara buat jiwa tandus kasih sayang, gersang perhatian, dan haus belaian. Anakanda lihat kelibat lembaga dalam kelam beransur-ansur menampakkan figura manusia. Anakanda cuba meloloskan diri. Enggan digari dengan hukuman dunia. Polis mengunci langkah anakanda.
Matahari menjamah ceruk sudut ruang tidur anakanda. Rayuan menyusup kolong perasaan. Rintihan anakanda meneriak di hati. Anakanda bersama insan senasib mencari semangat meneruskan kehidupan. Tatkala itu, rasa bersalah menerpa dinding keikhlasan. Wajah tua ayahanda yang tabah, dan sabar menerima anakanda meluruhkan ketakutan yang memasung. Atma anakanda menjamah kesyahduan riak muka ayahanda. Tubir mata anakanada deras mengalirkan air mata.
Ayahanda,
Peristiwa anakanda diberkas merupakan hempedu buat ayahanda. Penyesalan muncul selepas menelan kepahitan ibarat sudah terhantuk baru tergadah. Persis debu yang diterbangkan angin, begitu juga kegelisahan anakanda. Keampunan ayahanda seperti menyingkap tirai yang menyuramkan katil hidup anakanda.
Pesanan ayahanda yang berkumandang sejak dahulu lagi menjadi kekuatan anakanda. Anakanda tercampak ke gurun yang tidak berorang. Hanya keredaan ayahanda yang anakanda harapkan. Sabda Nabi Muhammad s.a.w: Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibu bapa, kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan kedua ibu bapa. Ayahanda, maafkan Qasdina.
Dari tinta,
Qasdina
SAHAM IPO NORTHEAST GROUP BERHAD
4 weeks ago